🌸KUALA LUMPUR, 21 April — Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim, telah mengumpul dana sebanyak RM50,810 untuk Lighthouse Children’s Welfare Home.
Inisiatif ini memberikan sokongan yang diperlukan bagi membantu organisasi ini meneruskan penjagaan terhadap kanak-kanak yang memerlukan perlindungan.
Usaha kutipan dana ini amat penting ketika banyak pusat kebajikan berdepan tekanan untuk menampung operasi harian akibat kenaikan kos serta kekangan sumber.
💥Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Steven Silvaraju and Jacinta Steven, Pengasas Lighthouse Children’s Welfare Home dalam satu majlis penyerahan cek cura yang berlangsung di rumah kebajikan berkenaan di Bangsar.
Dana tersebut akan digunakan untuk memenuhi keperluan segera, termasuk kos perubatan yang semakin meningkat, kerja pembaikan premis akibat hujan lebat, serta penggantian van yang rosak bagi urusan persekolahan dan keperluan harian yang lain.
“Lighthouse Children’s Welfare Home komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan berkonsepkan kekeluargaan bagi setiap kanak-kanak di bawah jagaan kami, serta memberikan pendidikan dan bimbingan supaya mereka menjadi individu yang yakin dan bertanggungjawab. Sokongan kewangan seperti ini membolehkan kami meneruskan misi tersebut serta memenuhi keperluan utama kanak-kanak di sini,” kata Steven Silvaraju, salah seorang Pengasas Lighthouse Children’s Welfare Home.
💥Ditubuhkan oleh Uncle Steven dan Auntie Jacintha, Lighthouse Children’s Welfare Home bermula sebagai satu inisiatif kecil untuk membantu anak yatim dan kanak-kanak yang terabai, sebelum berkembang menjadi tempat perlindungan yang berperanan penting dalam menjaga kebajikan kanak-kanak yang memerlukan. Kini, organisasi ini mengendalikan empat buah rumah kebajikan di Malaysia yang menempatkan kanak-kanak seawal usia bayi sehingga 18 tahun, dengan bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk meneruskan operasinya.
Penglibatan Chloe dengan Lighthouse Children’s Welfare Home mencerminkan komitmen jangka panjang yang bermula sejak zaman persekolahannya, ketika beliau menjadi sukarelawan di pusat kebajikan tersebut. Selepas kembali ke Malaysia dari luar negara, beliau menjalin semula hubungan dengan mereka dan melibatkan diri dengan lebih aktif melalui lawatan, aktiviti bersama, bimbingan serta usaha kutipan dana.
“Setiap kanak-kanak berhak untuk berasa selamat, disokong dan disayangi. Bagi saya, peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka adalah sesuatu yang amat saya hargai.
Dalam keadaan ketegangan global yang berterusan serta persekitaran ekonomi yang mencabar, keperluan rumah kebajikan sering diabaikan. Saya berharap usaha ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap keperluan mereka, di samping menggalakkan sokongan berterusan untuk kanak-kanak yang bergantung kepada rumah kebajikan ini,” kata Chloe Lim.
💥Usaha ini menekankan kepentingan sokongan masyarakat yang berterusan kepada rumah kebajikan, di samping mendukung peranan penting pusat ini dalam menyediakan penjagaan asas kepada kanak-kanak yang memerlukan.
Dengan kesedaran dan tindakan yang berterusan, lebih ramai kanak-kanak dapat memperoleh kestabilan, perlindungan serta peluang yang lebih baik.
Semasa majlis penyerahan cek cura, Chloe telah mengagihkan smoothies dan cenderamata kepada kanak-kanak yang merupakan sumbangan daripada Boost Juice Malaysia, selaku Rakan Kerjasama Minuman Cintai Kehidupan Rasmi bagi Miss Universe Malaysia 2025.
📌Mengenai Miss Universe Malaysia Organization (MUMO)
Miss Universe Malaysia adalah pertandingan ratu cantik terkemuka negara yang diadakan setiap tahun sejak 1962 dan telah diperbaharui pada tahun 2010.
Ia diwujudkan untuk menyediakan platform kepada wanita Malaysia yang bercita-cita tinggi untuk mewakili negara mereka di peringkat antarabangsa, iaitu pertandingan Miss Universe.
MUMO komited untuk mempromosikan nilai diplomasi budaya dan memperjuangkan isu penting sambil membina semangat kebangsaan dan pengiktirafan global.
Laman Web: https://mumo.com.my/
Instagram: https://www.instagram.com/missuniversemalaysia
Facebook: https://www.facebook.com/MissUniverseMalaysia
YouTube: https://www.youtube.com/@MissUniverseMsiaOrg
Tamat