ZETRIX PACU RANTAIAN BLOK AWAM UNTUK KERAJAAN FILIPINA
Kerjasama Menandakan Satu Lagi Pencapaian Penting dalam Peluasan Ekosistem Zetrix di Seluruh ASEAN

PETALING JAYA, 7 Julai — Platform rantaian blok awam lapisan-1 Zetrix bakal menjadi protokol asas bagi rantaian blok awam Filipina susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (“MOU”) bersejarah antara kumpulan Zetrix AI Berhad Malaysia dan kerajaan Filipina.

Blok rantai Zetrix yang dibangunkan oleh Zetrix AI telah beroperasi sebagai rantaian teras bagi Malaysia Blockchain Infrastructure (“MBI”). Kini, blok rantai ini akan memperkasakan sebuah lagi infrastruktur rangkaian peringkat berdaulat (sovereign-grade blockchain infrastructure).

MOU tersebut telah dimeterai antara tiga entiti, iaitu Zetrix Philippines Inc., My Blockchain Infrastructure Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat usaha sama Zetrix AI dan MIMOS Berhad selaku agensi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Malaysia, serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Filipina (Department of Information and Communications Technology of the Philippines). Antara objektif utama kolaborasi ini termasuk melaksanakan dan mengoperasikan infrastruktur rantaian blok awam Filipina berasaskan protokol Zetrix.

Dalam ekonomi AI agentik pada masa kini, teknologi rantaian blok semakin diiktiraf sebagai komponen penting dalam memastikan sumber data yang tidak boleh diubah, di samping menyediakan mekanisme transaksi yang telus dan boleh disahkan untuk rakyat dan ejen AI. Sebagai pengeluar dokumen kelayakan dan pengesahan rasmi terbesar, pihak kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan platform yang membolehkan pengeluaran, pengesahan dan verifikasi dokumen tersebut dilaksanakan secara digital pada skala besar. Platform ini perlu beroperasi dengan tahap keselamatan, kebolehpercayaan dan keyakinan yang tinggi, bukan sahaja dalam negara, malah merentasi sempadan, sekali gus memudahkan urusan individu, entiti perniagaan dan AI agentik secara cekap.

Zetrix merupakan rantaian asas kepada MBI Malaysia yang dilancarkan pada April 2025 dan kini dilantik oleh Filipina sebagai infrastruktur rantaian blok utama bagi pelaksanaan kelayakan digital (digitised credentials) yang dikeluarkan oleh kerajaan serta aplikasi yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara Filipina. Selain itu, Zetrix turut mengoperasikan supernode antarabangsa bagi rantaian blok nasional China (Xinghuo Blockchain Infrastructure and Facility). Ini juga mengukuhkan kedudukan Zetrix sebagai peneraju global dalam identiti digital yang berdaulat serta membolehkan pengesahan identiti kepada hampir 20 peratus populasi dunia.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan kepercayaan boleh dibawa merentas sistem dan sempadan. Melalui kolaborasi ini, kami dapat meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan bagi pengesahan kelayakan yang dikeluarkan oleh kerajaan merentasi pelbagai sistem. Ia juga membantu mengurangkan kesulitan supaya rakyat dapat mengakses perkhidmatan dengan lebih pantas dan yakin,” kata Henry R. Aguda, Setiausaha DICT Filipina.

“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Filipina kepada Zetrix untuk menerajui revolusi Web3 demi manfaat rakyat Filipina,” kata TS Wong, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI.

“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting ke arah merealisasikan visi kami untuk menghubungkan negara-negara di rantau ini melalui satu ekosistem bersepadu, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau menerusi kerjasama yang lebih erat,” tambah beliau.

Sejak dilancarkan pada April 2022, rantaian blok Zetrix telah merintis pelbagai aplikasi dunia sebenar, antaranya termasuk pengesahan identiti digital, pemprosesan pelepasan kastam, aplikasi pengundian global dan juga stablecoin.

Bersandarkan rekod prestasi tersebut, kerjasama di Filipina akan turut memberi tumpuan awal kepada pembangunan aplikasi rantaian blok yang seumpamanya termasuk kebolehoperasian rentas sempadan antara sistem identiti digital nasional Malaysia dan Filipina, pengeluaran, pengesahan serta verifikasi dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan Filipina dan pemudah cara perdagangan.

Pemilihan Zetrix sebagai protokol asas bagi rantaian blok nasional Filipina mengukuhkan lagi kehadiran Zetrix AI di negara yang mempunyai populasi terbesar ke-13 di dunia. Kumpulan tersebut telah beroperasi di Filipina selama hampir satu dekad sebagai peneraju penyelesaian kerajaan digital. Sepanjang tempoh itu, Zetrix AI telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan utama termasuk Biro Hasil Dalam Negeri (Bureau of Internal Revenue), Biro Siasatan (National Bureau of Investigation), Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Kebangsaan (Securities and Exchange Commission), Lembaga Pelabuhan Filipina (Philippine Ports Authority) dan Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (Bureau of Fisheries and Aquatic Resources).

-TAMAT-

Mengenai Zetrix AI Berhad

Zetrix AI Berhad (“Zetrix AI”), sebelum ini dikenali sebagai MY E.G. Services Berhad, merupakan peneraju dalam penggunaan teknologi blok rantai dan kecerdasan buatan (AI) untuk sektor awam dan swasta di seluruh ASEAN. Beribu pejabat di Malaysia, Zetrix AI memulakan operasi pada tahun 2000 sebagai pelopor dalam penyediaan perkhidmatan kerajaan elektronik serta tawaran komersial yang berkaitan. Kini, Zetrix AI sudah maju ke barisan hadapan transformasi teknologi serantau dengan memanfaatkan platform blok rantai lapisan-1 miliknya, Zetrix, serta menerajui penggabungan teknologi Web3, AI dan robotik untuk membolehkan transaksi rentas sempadan yang efisien, pintar dan selamat, di samping identiti digital yang saling boleh kendali dan penyelesaian automasi yang menghubungkan rakyat, perniagaan dan kerajaan secara lancar.

Mengenai Zetrix
Zetrix ialah sebuah rantaian blok awam lapisan-1 yang memudahkan kontrak pintar dan menyediakan privasi, keselamatan dan kebolehkembangan. Infrastruktur kriptografi Zetrix boleh diperkenalkan ke pelbagai industri untuk menghubungkan kerajaan, perniagaan dan rakyat kepada ekonomi berasaskan blok rantai global. Dibangunkan oleh Zetrix AI Berhad, integrasi rentas sempadan dan rentas rantai dengan China membolehkan Zetrix berfungsi sebagai pintu masuk blok rantai yang memudahkan perdagangan global dengan menyediakan blok-blok asas untuk perkhidmatan Web3 seperti Pengenal Berasaskan Blok Rantai (Blockchain-based Identifiers) dan Kelayakan yang Boleh Disahkan (Verifiable Credentials).