Zetrix AI dan Shenzhen Data Exchange Bakal Menjana Nilai Data ASEAN-China Melalui Platform Perdagangan Rentas Sempadan
Memacu Aliran Data yang Selamat dan Terkawal antara Ekosistem Data China dan Asia Tenggara
🌸PETALING JAYA, 22 Mei — Zetrix AI Berhad (“Zetrix AI”) dan Shenzhen Data Exchange Co. Ltd. (“SZDEX”) hari ini mengumumkan rancangan untuk bersama-sama membangunkan sebuah platform bagi membolehkan penjanaan nilai data secara selamat sebagai kelas aset strategik di ASEAN.
Langkah ini membolehkan pergerakan produk data secara tersusun antara rantau ini dan China, sekali gus menandakan pencapaian penting ke arah pembentukan ekosistem perdagangan data rentas sempadan yang dinamik.
Dengan hampir 700 juta penduduk dan kedudukan sebagai ekonomi kelima terbesar dunia, ASEAN memiliki jumlah data yang besar dengan potensi penjanaan nilai yang tidak dapat dinafikan. Namun sehingga kini, aset bernilai ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Sebagai perbandingan, di China sahaja, jumlah nilai transaksi data pada tahun 2025 dianggarkan mencecah RMB50 bilion.
Antara pembeli data yang paling aktif ialah syarikat yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan proses perniagaan mereka.
Justeru, kerjasama antara Zetrix AI dan SZDEX ini bertujuan meletakkan ASEAN di landasan untuk menjadi pusat perdagangan data yang terkemuka.
Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang data, dengan matlamat menggalakkan pembangunan dan penggunaan sumber data, memperkukuh aspek keselamatan data serta perlindungan privasi, selain mempererat kolaborasi dalam aspek dasar, peraturan serta inovasi teknologi.
Secara lebih terperinci, kerjasama ini menggabungkan rekod pencapaian Zetrix AI selama beberapa dekad sebagai perintis inovasi dalam penyediaan perkhidmatan kerajaan digital dan komersial berkaitan, bersama kepimpinan pasaran SZDEX yang terbukti sebagai pengendali platform peringkat nasional China bagi penukaran data kepada aset dan perdagangan data.
💥Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam tiga bidang utama berikut:
1. Bersama Membangunkan Infrastruktur Perdagangan Data Serantau dan Platform Peredaran Data
Kedua-dua pihak akan membangunkan sebuah platform peredaran dan penggunaan data yang standard serta mematuhi peraturan di rantau ASEAN.
Inisiatif ini termasuk mewujudkan peraturan perdagangan data, sistem kawalan kualiti dan mekanisme jaminan keselamatan yang sesuai dengan ciri-ciri serantau.
Usaha ini bertujuan merealisasikan integrasi sumber data yang lebih cekap serta peredaran data yang tersusun dalam rantau ini, sekali gus menjadi penanda aras bagi pembangunan pasaran data di ASEAN.
Kedua-dua pihak juga akan meneroka dan menilai kebolehlaksanaan serta keperluan kawal selia bagi penubuhan sebuah bursa data di rantau ASEAN.
2. Menggalakkan Peredaran Dua Hala Produk Data Rentas Sempadan dan Membina Rangkaian Saling Hubung Data ASEAN-China
Kerjasama ini akan melibatkan usaha menghimpun dan menyepadukan sumber data yang berkualiti tinggi di pasaran Asia Tenggara dan China dalam bidang seperti kebudayaan dan pelancongan, perdagangan, kewangan, hal ehwal kerajaan, pembuatan serta pertanian.
Melalui inisiatif ini, produk data berkualiti tinggi akan memasuki dari satu pasaran ke pasaran yang lain dengan lebih lancar bagi menjana nilai aset data tersebut.
Kedua-dua pihak akan bersama-sama membangunkan sebuah sistem saling hubung dua hala bagi peredaran produk data rentas sempadan.
Sistem ini akan memperincikan proses piawaian menyeluruh bagi semakan pematuhan data, pendaftaran hak milik, penyelesaian transaksi dan rangkaian proses berkaitan bagi membolehkan aliran elemen data yang lebih cekap antara China dan ASEAN.
3. Memperkukuh Perkongsian Sumber Ekologi dan Membina Ekosistem Elemen Data Rentas Sempadan
Bagi memperkukuh perkongsian sumber data untuk pembentukan ekosistem data China-ASEAN, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menangani cabaran utama dalam pentadbiran data rentas sempadan, peredaran data yang mematuhi peraturan, inovasi dalam transaksi dan penerapan aplikasi teknologi. Usaha ini akan dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif bersama, seperti pameran, seminar dan forum kerjasama data rentas sempadan China-ASEAN.
Kedua-dua pihak juga akan membina platform pertukaran dan kerjasama industri serta menghimpunkan sumber maklumat dalam rantaian industri data rentas sempadan.
Selain itu, kedua-dua pihak akan bersama-sama menjalankan penyelidikan dan meneroka inovasi model dalam bidang peredaran data rentas sempadan.
Ini termasuk penerokaan peraturan perdagangan data rentas sempadan, sistem jaminan keselamatan dan model operasi komersial yang sesuai dengan keperluan China dan rantau ASEAN, di samping menggalakkan penggubalan dan pelaksanaan piawaian industri.
Zetrix AI dan SZDEX menegaskan bahawa aspek keselamatan dan pematuhan adalah keutamaan dalam pengendalian data.
Kedua-dua pihak komited untuk melaksanakan inisiatif ini dengan cara yang membolehkan potensi nilai aset data di rantau ini direalisasikan sepenuhnya tanpa mengetepikan keselamatan data serta perlindungan privasi.
Kerjasama ini adalah susulan penyertaan Zetrix AI dalam Pertubuhan Data Dunia (World Data Organization) yang baru dilancarkan sebagai ahli pengasas, ahli majlis pertamanya serta wakil utama ASEAN.
Penyertaan ini memperkukuh peranan Zetrix AI yang semakin meningkat dalam memacu penggunaan dan perdagangan aset data global secara selamat, bertanggungjawab dan cekap.
Zetrix AI terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama teknologi antara ASEAN dan China.
Pencapaiannya merangkumi pelbagai inisiatif utama bermula daripada penubuhan ASEAN China AI Lab sebagai inisiatif utama sehingga pengiktirafan platform blok rantai lapisan-1, Zetrix, sebagai supernode antarabangsa bagi blok rantai nasional Xinghuo China. Zetrix AI turut melancarkan aplikasi pemprosesan pelepasan kastam, ZTrade, dengan kerjasama General Administration of China Custom.
Baru-baru ini, Zetrix AI bekerjasama dengan Chinese Academy of Information and Communications Technology dalam pelancaran Avatar, sebuah protokol kepercayaan berasaskan blok rantai untuk ejen AI.
Kesemua inisiatif ini mencerminkan kepimpinan Zetrix AI dalam memacu penggunaan teknologi terkini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serantau.
-TAMAT-