Kuala Lumpur – KK Super Mart sekali lagi mengukir kejayaan luar biasa dengan menerima Anugerah “The Great Asia Outstanding Corporation Award” di Majlis berprestij “The Asia Economic & Entrepreneurship Summit” yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Penghargaan tertinggi ini disampaikan kepada Datuk Seri Dr. KK Chai, pengasas dan Pengerusi KK Super Mart, oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Majlis penuh gemilang ini turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak.
Pengiktirafan ini mencerminkan pencapaian KK Super Mart yang berjaya meletakkan jenama tempatan ini di barisan hadapan perniagaan runcit, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.
Datuk Seri Dr. KK Chai meluahkan rasa syukur dan penuh penghargaan atas anugerah yang bermakna ini, dan turut menekankan bahawa kejayaan ini bukanlah pencapaian individu semata-mata.
“Kejayaan ini, adalah hasil usaha gigih seluruh pasukan di KK Super Mart yang sentiasa berdedikasi dan bekerja keras untuk memacu syarikat ke hadapan.”
Menghargai konteks negara, Datuk Seri Dr. KK Chai turut mengaitkan kejayaannya dengan keunikan Malaysia yang berbilang kaum, budaya, dan agama.
“Malaysia adalah faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan usahawan seperti saya. Kepelbagaian dan perpaduan rakyat Malaysia telah membuka peluang yang luas untuk kita semua berkembang Bersama.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof serta Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak, atas sokongan mereka terhadap majlis ini, sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan erat antara sektor perniagaan dan kepimpinan negara.
KK Super Mart, di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. KK Chai, telah mencatatkan pelbagai kejayaan besar sejak penubuhannya. Bermula sebagai sebuah kedai runcit kecil, kini KK Super Mart telah berkembang menjadi rangkaian runcit yang besar, dengan 900 cawangan di seluruh Malaysia, dan terus memperluas jejaknya ke luar negara. Kejayaan menerima anugerah ini menjadi satu lagi batu loncatan yang penting dalam sejarah syarikat.