Kuala Lumpur- Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Bahagian Puchong, Dato’ Gan Yong Hwa berkata, selepas pelbagai pihak berterusan menyuarakan kebimbangan dan memberikan tekanan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dalam mesyuarat Kabinet supaya mengkaji langkah segera bagi memperketat kawal selia terhadap platform e-dagang yang tidak berdaftar atau tidak mempunyai alamat tempatan di Malaysia. Ini membuktikan bahawa tekanan daripada pelbagai pihak telah membuahkan hasil.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkembangan ini turut menunjukkan kerajaan lambat menyedari masalah kawal selia e-dagang rentas sempadan. Hanya selepas peniaga tempatan berdepan persaingan tidak adil dan aduan pengguna terus meningkat, barulah Perdana Menteri mengarahkan kementerian berkaitan mengkaji langkah penyelesaian.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri “Program Pengagihan Pek Makanan Percuma Prihatin Rakyat” di pasar sementara pasar pagi Kampung Baru Serdang baru-baru ini. Program anjuran Sayap Bersekutu BERSATU Bahagian Puchong, Selangor bersama Pasukan Keselamatan Kampung Baru Seri Kembangan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, sekali gus membolehkan sumber bantuan dikongsi bersama serta menyemarakkan semangat saling membantu dan menyayangi dalam kalangan masyarakat.
Gan mengulas pengumuman kerajaan bahawa kawal selia terhadap platform e-dagang akan diperkukuh susulan aduan daripada pelbagai pihak. Ini termasuk mengkaji pelaksanaan mekanisme pendaftaran platform e-dagang bagi melindungi hak pengguna, selain memastikan produk elektrik, elektronik dan barangan dengan pengesahan halal yang dijual melalui platform berkenaan mematuhi piawaian Malaysia.
Beliau berkata, pendirian kerajaan bahawa platform e-dagang tidak akan ditutup adalah tepat kerana e-dagang memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna serta mewujudkan persaingan dalam pasaran. Namun begitu, pasaran terbuka tidak bermakna kerajaan boleh mengabaikan kawal selia.
Platform yang tidak berdaftar di Malaysia, tidak mempunyai alamat tempatan dan tiada wakil tempatan untuk memikul tanggungjawab tidak boleh dibiarkan terus beroperasi dalam ruang kelompongan kawal selia.
Menurut beliau, tindakan ini bukan bertujuan menolak platform asing atau melindungi syarikat yang ketinggalan, tetapi bagi memastikan semua pihak yang mengambil bahagian dalam pasaran Malaysia mematuhi peraturan yang sama.
“Tidak kira sama ada platform itu berasal dari dalam atau luar negara, selagi memperoleh keuntungan daripada pengguna Malaysia, platform berkenaan wajib berdaftar dan membayar cukai mengikut undang-undang, melindungi pengguna serta bertanggungjawab terhadap barangan yang dijual menerusinya.”
Gan berkata, apa yang diumumkan kerajaan setakat ini masih berupa “arahan untuk mengkaji”.
Apa yang lebih ingin diketahui rakyat ialah bilakah langkah itu akan dilaksanakan, pihak manakah yang akan bertanggungjawab dan apakah tindakan yang bakal dikenakan terhadap platform yang melanggar undang-undang.
Beliau menggesa kerajaan menetapkan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan langkah berkenaan. Semua platform e-dagang yang menyasarkan pengguna Malaysia mesti diwajibkan berdaftar di negara ini serta mempunyai pejabat tempatan atau wakil sah yang boleh dihubungi pengguna untuk membuat aduan dan dipertanggungjawabkan dari sudut undang-undang.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan sistem pendaftaran mandatori yang mewajibkan platform mengemukakan maklumat syarikat, pihak yang bertanggungjawab, identiti penjual dan butiran perhubungan tempatan.
“Platform asing tidak boleh dibenarkan menjalankan transaksi bernilai besar di Malaysia tanpa mempunyai satu pun entiti tempatan yang boleh memikul tanggungjawab undang-undang.
“Pada masa sama, kerajaan perlu melaksanakan sistem pengesahan identiti sebenar penjual serta mekanisme pengesanan sumber barangan bagi menghalang peniaga menggunakan identiti atau alamat palsu, ataupun menutup akaun untuk melarikan diri daripada tanggungjawab. Penjual yang melakukan kesalahan berulang kali mesti dilarang secara kekal daripada mendaftar semula di platform berkenaan.”
Beliau berkata, produk elektrik dan elektronik mesti mematuhi piawaian keselamatan serta pensijilan Malaysia. Barangan yang menggunakan tanda halal pula mesti menyatakan dengan jelas badan pensijilan dan kesahihan pengiktirafan tersebut. Logo atau tanda yang boleh mengelirukan pengguna Islam tidak boleh digunakan.
Platform juga perlu diwajibkan menyediakan mekanisme pemulangan barangan, pembayaran balik dan pengendalian aduan yang jelas serta menetapkan tempoh masa penyelesaian. Sekiranya pengguna gagal menghubungi penjual, platform tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab, sebaliknya mesti bertanggungjawab terhadap bayaran balik dan pampasan.
Gan berkata, kerajaan juga mesti menetapkan bidang kuasa yang jelas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, badan pensijilan produk serta agensi penguatkuasaan berkaitan.
Satu mekanisme kawal selia bersama merentas kementerian dan agensi perlu diwujudkan bagi mengelakkan keadaan setiap agensi hanya menguruskan sebahagian kecil daripada isu tersebut, tetapi akhirnya tiada satu pun pihak yang bertanggungjawab secara menyeluruh.