Zetrix AI dan Autzen Marketing Perkenalkan RideNow, Platform Pasaran Digital Motosikal

🌸PETALING JAYA, 18 Ogos 2026 — Zetrix AI Berhad (“Zetrix AI”) memperkenalkan RideNow, sebuah platform pasaran digital motosikal yang direka untuk mengurangkan risiko penipuan dalam talian.

Platform ini menghubungkan pemilik motosikal kepada rangkaian pengedar yang telah disahkan menerusi proses bidaan yang selamat dan terkawal.

Dibangunkan oleh anak-anak syarikat Zetrix AI, MY EG Sdn. Bhd. (“MYEG”) dan MYEG TwoCar Sdn. Bhd. (“TwoCar”), bersama Autzen Marketing Sdn. Bhd. (“Autzen Marketing”), RideNow menawarkan cara yang lebih selamat dan telus kepada pemilik untuk menjual motosikal mereka.

Mengikut laporan media yang terkini, jumlah motosikal berdaftar di Malaysia telah mencecah sehingga 19 juta unit.

Saiz pasaran yang besar ini membuka peluang untuk menjadikan urus niaga motosikal lebih sistematik dan boleh dipercayai.

RideNow mengintegrasikan proses penilaian dan pemeriksaan motosikal, penyertaan pengedar, pengambilan kenderaan, urusan pindah milik serta pembayaran dalam satu platform.

Dengan mengesahkan pengedar yang mengambil bahagian serta memeriksa motosikal yang layak sebelum memasuki proses bidaan, RideNow menyediakan alternatif yang lebih bersepadu dan selamat kepada penjual berbanding saluran jual beli yang tidak rasmi.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Zetrix Tower menyaksikan upacara pemeteraian perjanjian usaha sama antara TC Wong, Pengurus Besar MYEG yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif RideNow; Chow Kah Siong, Pengarah Pemasaran TwoCar dan Johnson Liu, Pengarah Pengasas Autzen Marketing.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (“MMSDA”).

Kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama para rakan kongsi untuk memperkukuhkan akauntabiliti, pengesahan kenderaan serta perlindungan transaksi dalam pasaran digital.

“Pemilik motosikal seharusnya dapat menjual motor mereka tanpa perlu berurusan dengan pihak yang tidak dikenali, tawaran yang tidak menentu atau prosedur yang rumit. RideNow menangani cabaran ini dengan memberikan penjual maklumat yang lebih jelas, bidaan yang sah daripada rangkain pengedar serta aliran proses yang teratur daripada penyenaraian kenderaan sehingga penerimaan pembayaran,” kata TC Wong.
Majlis pelancaran turut menampilkan sebuah video pengenalan mengenai RideNow serta demonstrasi platform bagi membolehkan para tetamu mencuba platform tersebut secara langsung.

💥Menangani Penipuan dalam Pasaran Motosikal Malaysia

RideNow diperkenalkan susulan peningkatan kes penipuan dalam talian di Malaysia.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (“KPDN”) Datuk Armizan Mohd Ali, jumlah kerugian akibat penipuan e-dagang telah melebihi RM430 juta pada suku pertama 2026.

Isu ini menekankan kepentingan perlindungan yang lebih kukuh dan prosedur yang lebih jelas apabila pengguna menjalankan transaksi secara digital, khususnya bagi urusan jual beli barangan bernilai tinggi seperti motosikal.

Bagi mengurangkan risiko berkenaan, RideNow hanya membenarkan proses bidaan kepada pengedar yang disahkan, serta mewajibkan pemeriksaan menyeluruh ke atas motosikal yang layak sebelum ditawarkan kepada pengedar.

💥Kepakaran Industri RideNow

RideNow sedang memperluas rangkaian kerjasama dengan pelbagai pemain industri bagi meneroka peluang untuk memperkukuh dan mengembangkan ekosistemnya.

Ini termasuk perbincangan yang sedang berlangsung serta potensi kerjasama dengan beberapa organisasi antaranya Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (“MODENAS”), AEON Credit Service (M) Berhad dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd.

Kolaborasi dengan pihak-pihak ini membolehkan RideNow memanfaatkan kelebihan masing-masing dalam usaha memajukan RideNow melangkaui pasaran digital. Ini selaras dengan aspirasinya untuk membangunkan ekosistem motosikal yang terbuka dan saling terhubung bagi urusan pemeriksaan, penilaian dan penjualan motosikal.

RideNow turut bekerjasama dengan RHB Insurance Berhad (“RHBi”) sebagai Rakan Insurans (Insurance Partner) bagi menyediakan perlindungan waranti untuk motosikal yang diurus niaga di platform RideNow. Melalui kerjasama ini, pengedar yang mengambil bahagian dan pembeli motosikal dapat menikmati perlindungan waranti yang disokong insurans, sekali gus mencerminkan komitmen RideNow terhadap kualiti, ketelusan dan keyakinan pelanggan.

Dengan mengintegrasikan perlindungan ke dalam setiap transaksi, Ridenow dapat meningkatkan keyakinan dan memberikan ketenangan kepada pengguna dalam pasaran motosikal terpakai di Malaysia.

RideNow turut menjalin kerjasama dengan The Otomotif College Sdn. Bhd. (“TOC”) untuk membangunkan Program Pemeriksa Bertauliah RideNow (RideNow Certified Inspector (“RCI”) Programme), sebuah inisiatif pensijilan profesional yang bertujuan meningkatkan kompetensi dan konsistensi pemeriksaan motosikal di Malaysia.

Dengan menggabungkan kepakaran operasi RideNow dan kecemerlangan akademik TOC, kolaborasi ini akan menambah baik piawaian industri, melahirkan pemeriksa motosikal yang berkemahiran serta meningkatkan keyakinan pengguna melalui proses pemeriksaan motosikal yang lebih telus dan boleh dipercayai.

💥Cara Lebih Selamat untuk Menjual Motosikal

Pemilik motosikal boleh mengemukakan maklumat motosikal mereka melalui laman web RideNow dan mengatur pemeriksaan motosikal di lokasi mengikut tarikh, masa dan tempat pilihan mereka.

Selepas selesai proses pemeriksaan dan pengesahan, motosikal yang layak akan ditawarkan kepada rangkaian pengedar RideNow yang telah disahkan untuk proses bidaan kompetitif.

Sekiranya penjual menerima tawaran tersebut, RideNow akan menguruskan jual beli motosikal dengan pengedar dan menyelaras proses seterusnya, termasuk pengambilan motosikal, pindah milik dan pembayaran. Perkhidmatan ini ditawarkan tanpa sebarang bayaran pendahuluan atau caj tersembunyi.

💥Pelaksanaan Mulai September 2026

Platform RideNow akan mula beroperasi pada September 2026.

Menjelang pelancarannya, pemilik motosikal boleh melayari https://ridenow.com.my untuk menyemak anggaran nilai motosikal mereka menerusi Enjin Penilaian Harga RideNow (RideNow Price Valuation Engine).

Pemilik juga boleh mendaftar sebagai Penjual Pengasas (Founding Sellers) untuk menyenaraikan motosikal mereka terlebih dahulu dan menyertai proses bidaan tertutup sebelum platform dibuka kepada orang ramai.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi saluran media sosial rasmi RideNow, Facebook di www.facebook.com/RideNowMY, TikTok di www.tiktok.com/@ridenow.my dan LinkedIn di linkedin.com/company/ridenowmy.

Pengenalan RideNow akan memperkasa ekosistem penyelesaian automotif Zetrix AI yang semakin berkembang.

Sebagai tambahan kepada perkhidmatan digital sedia ada yang merangkumi urusan pemilikan kenderaan, pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, insurans, pembiayaan serta perkhidmatan berkaitan automotif yang lain, RideNow memperluas perkhidmatan Zetrix AI ke pasaran motosikal terpakai dengan menyediakan sebuah platform menyeluruh yang boleh dipercayai oleh pengguna.

– TAMAT –

🌸Mengenai RideNow
RideNow merupakan platform pasaran digital motosikal di Malaysia yang dibangunkan bagi proses penjualan motosikal yang lebih mudah, selamat dan telus.

Ditubuhkan menerusi usaha sama antara MY EG Sdn. Bhd., MYEG TwoCar Sdn. Bhd. dan Autzen Marketing Sdn. Bhd., RideNow menggabungkan penilaian motosikal berasaskan data, pemeriksaan menyeluruh di lokasi penjual serta proses bidaan kompetitif yang menghubungkan penjual motosikal dengan pengedar yang telah disahkan.

Dengan menawarkan harga yang lebih telus serta proses penjualan menyeluruh yang lebih berstruktur, RideNow berhasrat membantu penjual memperoleh nilai pasaran yang wajar, di samping mengurangkan ketidakpastian dan risiko urus niaga motosikal yang sering berlaku dalam urusan jual beli tidak rasmi.

🌸Mengenai Zetrix AI Berhad

Zetrix AI Berhad (“Zetrix AI”), sebelum ini dikenali sebagai MY E.G. Services Berhad, merupakan peneraju dalam penggunaan teknologi blok rantai dan kecerdasan buatan (AI) untuk sektor awam dan swasta di seluruh ASEAN.

Beribu pejabat di Malaysia, Zetrix AI memulakan operasi pada tahun 2000 sebagai pelopor dalam penyediaan perkhidmatan kerajaan elektronik serta tawaran komersial yang berkaitan.

Kini, Zetrix AI sudah maju ke barisan hadapan transformasi teknologi serantau dengan memanfaatkan platform blok rantai lapisan-1 miliknya, Zetrix, serta menerajui penggabungan teknologi Web3, AI dan robotik untuk membolehkan transaksi rentas sempadan yang efisien, pintar dan selamat, di samping identiti digital yang saling boleh kendali dan penyelesaian automasi yang menghubungkan rakyat, perniagaan dan kerajaan secara lancar.

🌸Mengenai Autzen Marketing Sdn. Bhd.

Autzen Marketing Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat penyelesaian pelanggan dan ekosistem berteraskan teknologi di Malaysia.

Syarikat ini memberi tumpuan kepada transformasi industri automotif, insurans dan mobiliti menerusi inovasi, kerjasama strategik serta kecemerlangan operasi.

Dengan memanfaatkan kepakarannya dalam pentadbiran pihak ketiga, pengurusan kitaran hayat pelanggan dan penyampaian perkhidmatan digital, Autzen membangunkan dan menguruskan program bersepadu yang merangkumi perlindungan kenderaan, pemeriksaan, bantuan tepi jalan, perkhidmatan selepas jualan serta penglibatan pelanggan. Sebagai rakan pengasas usaha sama RideNow, Autzen bertanggungjawab memacu strategi komersial, kerjasama ekosistem serta perkhidmatan nilai tambah bagi menyokong aspirasi RideNow untuk membangunkan platform pasaran motosikal yang paling dipercayai dan terhubung di Malaysia.